Langkau ke kandungan utama

KOLEKSI PANTUN SEMASA MAJLIS

 Pantun Pembuka Majlis 

Melayang serindit di atas permatang 

Merbah berkicau di hujung muara 

Pemanis kata selamat datang, 

Awal Bismillah pembuka bicara. 


Assalamualaikum salam sejahtera 

Pembuka kata lidah bicara 

Izinkan saya mulakan acara 

Semoga majlis disambut ceria 


Kompang bergema pusaka bangsa 

Dipalu oleh si anak muda 

Hadir tuan meriah suasana 

Kami menyambut penuh gembira



Ke Pekan Kuala membeli bingka, 
Sayang pesanan terlupa sudah; 
Majlis bermula tirai dibuka, 
Dengan alunan madah yang indah 

Mencari timba si anak dara, 
Di bawah sarang burung tempua; 
Salam sembah pembuka bicara, 
Selamat datang untuk semua. 


Melati kuntum tumbuh melata, 
Sayang merbah di pohon cemara; 
Assalamualaikum mulanya kata, 
Saya sembah pembuka bicara 


Mega berarak indah berbalam, 
Dipuput bayu ke pohon ara; 
Pemanis kalam selamat malam, 
Awal bismillah pembuka bicara.

 Indah berbalam si awan petang, 
Berarak di celah pepohon ara; 
Pemanis kalam selamat datang, 
Awal bismillah pembuka bicara. 

Sayang kumbang mencari makan, 
Terbang seiring di tepi kali; 
Selamat datang kami ucapkan, 
Moga diiring restu Ilahi.


 Pantun Penutup Majlis 

Tenang-tenang air di kali 
Tempat mandian putra puteri 
Sempurna sudah majlis dirai
 Salah dan silap harap dimaafi 

Merdu bertingkah alunan suara 
Kadang tak sedar tersilap kata 
Andai terlanjur patah bicara 
Serendah hati kemaafan dipinta 

Bunga dedap di atas para, 
Anak dusun pasang pelita; 
Kalau tersilap tutur bicara, 
Jemari disusun maaf dipinta. 

Bersyukur kini kami panjatkan, 
Majlis anugerah telah disempurnakan, 
Sekalung penghargaan kami hulurkan,
 Segulung tahniah kami ucapkan 

Dari Kedah ke pekan sari, 
Beli suasa di Kota Tinggi; 
Selesai sudah tugas diberi, 
Di lain masa bersua lagi. 

Bunga seroja di atas para, 
Jatuh ditimpa buah berangan; 
Andai kata tersilap bicara, 
Kemaafan jua kami pohonkan. 

Pohon berangan tempat bertemu, 
Girangnya rasa si anak dara; 
Baliklah tuan membawa ilmu, 
Binalah bangsa bangunkan negara. 

Di atas dahan burung tempua,
 Melihat rusa tepi perigi;
 Salam perpisahan untuk semua, 
Di lain masa bersua lagi. 

Akar keladi melilit selasih 
Selasih tumbuh di hujung taman 
Kalungan budi junjungan kasih 
Mesra kenangan sepanjang zaman 

Bersyukur kini kami panjatkan, 
Majlis anugerah telah disempurnakan, 
Sekalung penghargaan kami hulurkan, 
Segulung tahniah kami ucapkan

 Buah rambutan untuk dimakan 
Simpan sedikit buat cik Siti 
Salah dan silap harap dimaafkan 
Ada jodoh berjumpa lagi 

Mencandat sotong diwaktu pagi 
Tidak terasa hari dah senja 
Walaupun jauh merantau pergi 
Sanak saudara takkan dilupa 

Pantun Ucapan Berikut adalah koleksi pantun yang boleh digunakan untuk pengacara menjemput tetamu untuk mencapaikan ucapan, merasmikan majlis dan juga memberikan kata-kata aluan. 

Duduk sekawan si burung unta, 
Tepi keramat di waktu malam; 
Pada mu tuan kami meminta, 
Kata azimat penutup kalam. 

Terbang di awan burung jentayu, 
Di atas papan batang selisih; 
Tampillah tuan kami merayu, 
Bersama ucapan pengikat kasih. 

Terbang di awan burung jentayu, 
Kerana penat gugur ke bumi; 
Tampillah tuan kami merayu, 
Bersama amanat bekalan kami. 

Daun semulur di pekan sari, 
Batang jerami rebah ke bumi; 
Madah dihulur sembah diberi, 
Kata perasmi hajatnya kami. 

Kalau tuan pikat kenari, 
Jangan patahkan batang jerami; 
Kepada tuan sembah diberi, 
Mohon rasmikan majlis kami. 

Terbang di awan burung jentayu, 
Di atas papan batang jerami; 
Tampillah tuan kami merayu, 
Bersama ucapan kata perasmi. 

Bukan rumput sebarang rumpun, 
Rumput penghias tepi halaman; 
Bukan jemput sebarang jemput, 
Jemput memohon kata aluan. 

Emas tempawan buatmu puteri, 
Busana indah buat rupawan; 
Sudilah tuan tampilkan diri, 
Bersama madah kata aluan. 

Sudilah tuan jalan berlapan, 
Jalan berlapan di malam kelam; 
Sudilah tuan beri ucapan, 
Kata aluan pemanis kalam 

buah cempedak enak rasanya, 
buat santapan di waktu senja, 
sekian sahaja ucapan saya, 
diharap dapat maanfaat semua.

 terbenam mentari di waktu senja,
 indah sekali dipandang mata,
 menyusun jari di akhir bicara 
silap dan salah maaf dipinta. 


Pantun Doa Di bawah pula adalah pantun untuk menjemput bacaan doa sebelum memulakan majlis. 

Tetak buluh kajang sepuluh, 
Laksana dititing kias ibarat; 
Angkat tangan jemari sepuluh, 
Doa di pohon biar selamat. 

Garam ada kicap pun ada, 
Sayang lada terlupa bagi; 
Pantun ada ucapan ada,
 Sayang tiada berdoa lagi. 

Kalau pergi Tanjung Keramat, 
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat, 
Moga majlis mendapat berkat. 

Bunga mawar cantik tersemat 
Dipetik gadis di tepi titi 
Doa dibaca memohon Rahmat 
Moga Majlis sentiasa diberkati 

Tangan ditadah penuh inayah, 
Majlis dibuka penuh rahmatNya, 
Mohon keberkatan serta hidayah, 
Moga tercerna minda kelas pertama.

 Lebat kemiri pohonnya rendah, 
Dahan terikat tali perkasa; 
Sepuluh jari kami menadah, 
Mohon berkat yang Maha Esa. 

Pantun Jemput Makan Sebelum menjemput tetamu yang hadir di dalam majlis untuk menjamu selera, pengacara majlis boleh membacakan pantun yang berkaitan seperti berikut. 

Terbang sekawan si burung merbuk, 
Batang selasih di Tanjung Dara; 
Padamu tuan kami persembah, 
Santapan kasih juadah mesra. 

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
 Sayang senduduk di tepi muara; 
Penganan mulia terletak sudah, 
Samalah duduk menjamu selera. 

Sungguh indah bunga kemboja, 
Di bawah atap tepi halaman; 
Juadah sudah letak di meja, 
Sudilah santap tuan budiman.

 Kalau tuan pikat cemara, 
Buatlah bara bakar selasih; 
Sudilah tuan jamu selera, 
Hidangan mesra pengikat kasih. 

Pantun Persembahan Selingan Lazimnya majlis mempunyai persembahan-persembahan selingan dan pantun di bawah sesuai untuk diucapkan oleh pengacara majlis sebagai perkenalan aktiviti persembahan selingan. 

Sehabis merah daun yang sihat 
Dahan melebar bercerita sakan 
Majlis anugerah mohon berehat 
Persembahan pelajar kita saksikan 

Pakaian dipakai cantik berseri, 
Majlis keraian kita semua, 
Majlis kita takkan berseri, 
Tanpa persembahan multimedia 

Dari Kedah ke Kuala Perlis 
Singgah bersantai di tepi jeti 
Persembahan pembukaan memeriahkan majlis 
Semoga hadirin terhibur di hati. 

Awan bersua citra berkisah 
Ukiran sukmaa kilauan kelisa 
Penyampaian hadiah selesai sudah 
Persembahan pelajar menyusul pula


 Pantun Anugerah  

Pantun berikut boleh digunakan sebelum majlis penyampaian anugerah dijalankan.

 Berkebaya batik berwarna merah 
Diserikan dengan permata berlian 
Tibalah masa penyampaian anugerah 
Penerima teruja menunggu giliran

 Ikan sembilang, sepat dan kelah 
Guna bubu biasa di hujung 
Pencapaian cemerlang dapat hadiah 
Petanda ilmu sentiasa dijunjung 

Warga cemerlang tersenyum manis 
Hadir bersama ibu bapa wibawa 
Sambutan anugerah penyeri majlis 
Sematkan gagah di dalam jiwa

 Terbang tinggi si burung helang 
Berkicau kenari sambil berterbangan 
Insan cemerlang negara terbilang 
Anugerah diberi tanda kecemerlangan. 


Semoga perkongsian pantun di atas dapat membantu semua dalam menambah suasana yang meriah dan menarik di penganjuran majlis masing masing.

© Sumber Asal Informasi Dari : https://www.irujukan.my/pantun-pengacara-majlis/



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

APA MAKSUD MC....OR EMCEE

  Dictionary Definitions from  Oxford Languages  ·  Learn more emcee INFORMAL noun 1. a master of  ceremonies . "a tuxedoed emcee strode to the middle of the stage" 2. an MC at a club or party. verb 1. act as a master of  ceremonies  at (an entertainment or large social occasion). "he was scheduled to emcee Sunday's award show" 2. perform as an MC. "I ran the contest while Alex emceed from the DJ booth"